Thursday, December 15, 2011

tazkirah lecture


TAZKIRAH KULIYYAH

11 DISEMBER 2011 @ 16 muharram 1433 H (Ahad)
Bismillahirrahmanirrahim,
InsyaAllah,tema tazkirah pada minggu ini ialah ‘Pemimpin: antara yang memilih dan yang terpilih’, sesuai dengan musim pilihanraya AJKT PCI kali ini.
Allah SWT berfirman dalam surah al-baqarah ayat 30 yang bermaksud
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Dalam ayat ini jelas bahawa antara tanggungjawab yang Allah berikan kepada manusia di muka bumi ini ialah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi kerana Allah maha mengetahui apa kebolehan makhluk ciptaannya dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan kebolehan tersebut.
Kebolehan yang dimaksudkan ialah memimpin berdasarkan syariat Islam,dan jika manusia betul-betul memahami nescaya dunia hari ini akan lebih aman dan makmur.
Rakan-rakan harus faham bahawa menjadi pemimpin itu bukan hanya untuk organisasi besar seperti negara tetapi ia bermula dari diri sendiri,keluarga,masyarakat dan akhirnya dapat membentuk negara yang sejahtera.
Kesimpulannya , mulakan perubahan pada diri sendiri,pimpinlah diri untuk memimpin orang lain,jika tidak dunia,pimpinlah negara,andai tidak mampu,pimpinlah keluarga, dan semoga dilakukan semata-mata kerana Allah agar betul cara dan matlamat. Wallahua’lam


12 DISEMBER 2011 @ 17 muharram 1433 H (Isnin)

Kebanyakan sistem pemilihan pemimpin di sesebuah negara atau organisasi adalah melalui pilihan raya atau dalam kata lain,demokrasi yakni suara orang ramai.
Maka,orang yang memilih menjadi antara faktor penting dalam menentukan sama ada pemimpin tersebut seorang yang dapat menjalankan tugas atau hanya membawa kepada kerosakan ummah. Pada hakikatnya memang ketentuan dan pilihan daripada Allah,namun pilihan itu pada zahirnya kita yang lakukan kerana kebebasan membuat pilihan itu adalah anugerah yang terbesar yang Allah beri kepada sekalian manusia.
Justeru,kita perlu teliti dalam membuat pilihan, pilihlah pemimpin berdasarkan kebolehannya memimpin dengan baik,bukan kerana pengaruh,wang, rupa semata-mata ataupun kerana kita dapat memenuhi kepentingan kita dengan memilihnya.
Jadilah masyarakat yang ikhlas dan bertanggungjawab,jadilah pengundi yang baik. Ingat,pandangan mata selalu tersilap,pandangan nafsu selalu melulu, pandangan akal dan hati yang ikhlas kerana mengharap redha Allah itu yang hakiki.
Dan akhirnya,kita harus menerima seadanya pemimpin yang terpilih,saling melengkapi antara satu sama lain,menjadi pemimpin tak bermakna tak boleh ditegur,menjadi yang dipimpin tak bererti hanya tunduk dan patuh tanpa menegur apabila perlu. Wallahua’lam.

 13 DISEMBER 2011 @ 18 muharram 1433 H (selasa)

Apabila terpilih untuk menjadi pemimpin untuk sesebuah organisasi,rakan-rakan haruslah sedar bahawa amanat daripada Allah yang disandarkan melalui pilihan dan kepercayaan orang ramai terhadap anda. Menjadi pemimpin itu bukanlah sesuatu yang mudah tetapi bukan juga terlalu susah jika dilakukan kerana Allah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya.”
(hadis riwayat Bukhari)
Hadis ini menjelaskan kepentingan untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya. Jangan hanya bersifat tamak hendak memikul banyak jawatan untuk menunjukkan kebolehan tetapi tidak dilaksanakan amanah tersebut dengan baik. Semasa isra’ dari kota Makkah ke masjid al-aqsa,Rasulullah SAW melihat orang yang tidak larat memikul seberkas kayu namun ditambah lagi kayu tersebut dan dia tetap tidak dapat mengangkatnya. Malaikat Jibril memberitahu baginda bahawa itulah orang yang tidak dapat menjalankan sesuatu amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Justeru,ayuhlah bersama-sama betulkan niat,ya Allah sesungguhnya hanya Engkau yang mengetahui hikmah yang Engkau rencanakan,maka bantulah kami menjadi pemimpin yang adil,untuk diri sendiri, keluarga,masyarakat, agama dan semestinya keranaMu semata-mata. Wallahua’lam.


14 DISEMBER 2011 @ 19 muharram 1433 H (rabu)

InsyaAllah hari ini kita akan berkongsi tentang kisah seorang pemimpin terhebat sepanjang zaman tidak lain tidak bukan nabi junjungan kita Muhammad SAW. Pada hari ini baginda bukan sahaja dikagumi masyarakat Islam, malah dikagumi oleh masyarakat pelbagai agama di dunia terutama masyarakat barat dan nabi Muhammad SAW menduduki tempat pertama daripada 100 orang pemimpin terhebat sepanjang zaman dalam buku “100 tokoh paling berpengaruh dalam sejarah” yang ditulis oleh              Michael H. Hart dan diterbitkan pada tahun 1978.

Sebagai Pemimpin Agama :
  1. Baginda berakhlak mengikut ajaran yang diajar dalam al Quran sebagai seorang pendakwah, nabi menunjukkan sifat – sifat sebenar iaitu lemah lembut, toleransi, tegas dan berpegang teguh kepada ajaran yang dibawanya terutama aspek akidah. Contohnya, baginda tetap bersabar menghadapi tentangan orang Musyrikin sehinggalah kemuncaknya mereka berkomplot untuk membunuh nabi.

2.      Baginda melakukan aktiviti dakwah dengan penuh dedikasi dan tidak pernah cuba menunjukkan kuasa – kuasa luar biasa walaupun dianugerahkan pelbagai mukjizat oleh Allah SWT.


Sebagai pemimpin politik:

1.       mengasaskan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia iaitu sahifah Madinah.
2.       Mendamaikan pertelingkahan antara suku Aus dan khazraj Arab Madinah melalui perjanjian Aqabah satu dan dua.


Banyak lagi contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam pelbagai bidang kepimpinan seperti ketua hakim dan panglima perang,contohilah sikap nabi dalam memimpin,insyaAllah kita sama-sama mendapat pahala kerana mengikut sunnahnya. Wallahua’alam.

 15 DISEMBER 2011 @ 20 muharram 1433 H (khamis)


Pemimpin dan yang dipimpin itu saling melengkapi antara satu sama lain. Keputusan yang terbaik tidak akan dapat dicapai sekiranya pemimpin terlalu mengikuti kata hati sendiri tanpa memikirkan pendapat orang lain.

Pemimpin itu seharusnya dan selayaknya dihormati kerana dialah yang berusaha untuk memastikan kemaslahatan dan kebajikan kita terjaga. Kalau tak berpuas hati dengan tindakannya, elak sifat mengumpat atau mengutuk,sebaiknya jumpa dengannya dan tegur secara berhikmah. Bagi pemimpin, terimalah teguran dengan hati terbuka,muhasabah diri,betulkan niat semula dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan.

Selain itu,selalulah mendekati rakan-rakan anda,rapatkan silaturahim dengan mereka. InsyaAllah semua urusan dalam organisasi berjalan lancar disebabkan kerjasama antara pemimpin dan ahli-ahli organisasi.
Elakkan sikap pentingkan diri sendiri,hasad dengki dan tidak amanah. Tanamkan sifat sabar dan ikhlas dalam diri, yakinlah bahawa ada pertolongan Allah.

Ayuhlah bersama-sama jadi orang yang suka memberi, kerana lebih baik kita jadi orang yang memberi meskipun cuma sekali daripada kita jadi orang yang menerima selama-lamanya. insyaAllah ,Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat kita,

Kata hikmat daripada saidina umar r.a,

“aku tidak peduli akan susah dan senangku kerana aku tidak tahu mana satu yang baik untukku”

Wallahua’lam






0 comments:

Post a Comment