Lancement de Batch (LDB)

Alexandria Caliph of Endeavor

Pengenalan Organisasi Batch 14/15

Alexandria Caliph of Endeavor

Bakat-bakat ACErs

Alexandria Caliph of Endeavor

Ini Hijrahku

Alexandria Caliph of Endeavor

Memories

Alexandria Caliph of Endeavor

Survivor: Alexandria Special (SAS)

Alexandria Caliph of Endeavor

Ambo Datang Buleh? (ADB)

Alexandria Caliph of Endeavor

P.S. I Love You, MOM

Alexandria Caliph of Endeavor

Tuesday, August 16, 2011

menghayati nuzul quran

semuanya terkandung dalam quran...

Thursday, July 28, 2011

Fadhilat ramadhan

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

Wednesday, July 27, 2011

Fadhilat sya'ban

FADHILAT SYA’BAN
1. Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina ‘Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban.
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya )
2. Telah memberitahu kami Muaz bin Fudhalah telah memberitahu kami Hisham daripada Yahya daripada Abi Salamah sesungguhnya sayyidatina ‘Aishah telah memberitahunya dengan berkata : Nabi S.A.W tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban, dan baginda S.A.W telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Sya’ban. Dan adalah baginda S.A.W bersabda : Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajibkan) kamu sehingga kamu merasa berat dengan beban. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W adalah sembahyang(sunat) yang senantiasa dikerjakan sekalipun sedikit. Dan adalah baginda S.A.W apabila mendirikan sembahyang maka baginda S.A.W senantiasa berterusan di dalam berbuat demikian.
( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya)
3. Telah memberitahu kami Sufian bin ‘Uyainah daripada Ibn Abi Labid daripada Abi Salamah telah berkata : Aku telah bertanya Sayyidatina ‘Aishah tentang puasa Rasulullah S.A.W maka dia menjawab : Adalah baginda S.A.W berpuasa sehingga kami berkata : Sesungguhnya baginda S.A.W telah berpuasa dan baginda s.A.W berbuka sehingga kami mengatakan : Telah baginda S.A.W berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda S.A.W berpuasa dari sebulan sahaja lebih banyak daripada puasa baginda S.A.W pada bulan Sya’ban. Kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa Sya’ban sebulan penuh dan kadang-kadang baginda S.A.W berpuasa sedikit daripadanya.
(Diriwayatkan oleh imam Muslim di dalam sohihnya)
4. Telah memberitahuku Muawiyah bin Soleh daripada Abdullah bin Abi Qais sesungguhnya dia telah mendengar Sayyidatina ‘Aishah berkata : Bulan yang disukai oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda S.A.W berpuasa padanya adalah bulan Sya’ban kemudian disambung puasa pada bulan Ramadhan.
( Hadis ini sanadnya Hasan dan diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaei, Ibn Khuzaimah, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)
5. Telah memberitahuku Al-Maqburi daripada Abu Hurairah daripada Usamah bin Zaid telah berkata: Aku telah berkata : Wahai Rasulullah! sesungguhnya kau telah melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan yang mana engkau puasa padanya. Bertanya Rasulullah S.A.W : Bulan apa? Aku berkata: Sya’ban bulan diantara Rejab dan Ramadhan yang mana melupakan manusia mengenainya(diangkat kepadaNya) segala amalan semua hamba maka aku lebih suka amalanku tidak diangkat melainkan bersamanya aku berpuasa. Maka aku berkata lagi: Aku melihat engkau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis dan tidak mengabaikan kedua-dua hari itu.Sabda baginda S.A.W : Sesungguhnya segala amalan semua hamba akan diangkat pada kedua-dua hari itu maka aku lebih suka tidak diangkat amalanku melainkan bersamanya aku berpuasa.
( Hadis ini sanadnya Hasan dan telah dikeluarkan oleh An-Nasaei, Imam Ahmad dan imam Al-Baihaqi )
maraji
1. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibnu Hajar jilid 4 cetakan Maktabah Al-Risalah Al-Hadisah
2. Syarah Sohih Muslim oleh imam An-Nawawi jilid 15/16 cetakan Darul Makrifah
3. Kitab Fadahailul Auqat oleh Abi Bakar bin Al-Husin Al-Baihaqi di kaji oleh Adnan Abdul Rahman Majid Al-Qaisi cetakan Maktabah Al-Manarah Makah Mukarramah.

Sunday, July 3, 2011

ISRAK MIKRAJ (PART 2)


Semasa Mikraj

(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah) 

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

1.Langit Pertama   :  Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian baginda dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim serta melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 

2.Langit Kedua       :  Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi Isa A.S dan Nabi yahya A.S. 

3.Langit Ketiga       :  Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S. 

4.Langit Keempat  :  Naik tangga keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5.Langit Kelima      :  Naik tangga kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel. 

6.Langit Keenam    :  Naik tangga keenam. Bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70 000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

7.Langit Ketujuh : Naik tangga langit yang ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S berkata, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haula wala Quwwata Illa Billah. 

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S berkata : “Sampaikan salamku kepada umatmu dan khabarkan kepada mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu : Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilahaillallah allahuakbar dan La Haulawala Quwwata Illa Billahil Azim. 

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib,Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

8.Langit Kelapan        :   Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tidak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah-buahan, daun-daunan, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu
tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan Malik penunggunya. 

9.Langit Kesembilan   :  Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha . Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawadan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya. 

10.Langit Kesepuluh    :  Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata baginda sendiri, lantas sujud. 


SELEPAS MIKRAJ


Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula dan seterusnya ke Baitul-Maqdis. Lalu baginda menunggang Buraq bagi perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi (saksi) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu


DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.
Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.
Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.


solat itu tiang agama


p/s : mohon maaf atas segala kesulitan. 








Wednesday, June 29, 2011

Pengembaraan Di Bumi Fayoum


Iskandariah,24 Jun-Seramai 65 orang pelajar ikhwah tahun 1 telah menyertai jaulah ke Fayoum yang terletak kira-kira 400km daripada Iskandariah.Setelah berhempas pulas menghadapi module 5 yang dianggap amat kritikal,peluang "keemasan" ini tidak dilepaskan oleh mahasiswa tahun 1 untuk melepaskan tekanan yang telah lama disimpan di dalam hati.Bumi Fayoum yang tidak asing lagi bagi para pencinta buah menjadi destinasi percutian sensasi kami pada kali ini.




Pengembaraan kali ini bermula seawal jam 8.00 pagi.Walaupun perjalanan menuju ke Fayoum terasa jauh sekali,namun panorama yang terhidang di hadapan mata menjadi pengubat letih kali ini.Sungguh takjub apabila melihat bandar 6th Oktober yang sama gah dengan Bandar Putrajaya di Malaysia.Mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan bandar yang amat canggih ini terutamanya mahasiswa tahun 1.

Kawasan pertanian di Fayoum

Setelah 6 jam berada di atas bas,kini destinasi yang pertama Wadi Al-Rayyan menanti untuk dijejaki.Sebelum memasuki kawasan Wadi Al-Rayyan kami dikenakan bayaran sebanyak 3 dolar setiap seorang.Pelbagai halangan yang kami hadapi sebelum berjaya menerokai wilayah Wadi Al-rayyan yang memiliki satu-satunya air terjun di Mesir.Sepanjang perjalanan menuju ke air terjun itu,kami mengambil kesempatan untuk bergambar di atas padang pasir yang terbentang luas umpama tiada penghujungnya.Kelihatan semua peserta seolah-olah teruja dengan pengalaman pertama menyaksikan sendiri keindahan padang pasir di bumi Mesir.Terasa begitu sayu apabila mengenangkan perjuangan Rasulullah melakukan hijrah ke kota Madinah merentasi padang pasir yang begitu luas sekali.Pasir-pasir yang halus memang sukar untuk dijejaki disertai pula angin-angin yang rakus membawa desiran pasir bersamanya.Pengalaman ini menjadi satu ibrah kepada para peserta untuk lebih menghargai pengorbanan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan Islam kepada umatnya.

Bergambar di padang pasir sekitar Wadi Al-Rayyan
Padang pasir yang terbentang luas umpama tiada penghujungnya

Gelagat peserta jaulah kali ini yang begitu teruja dengan padang pasir


Alhamdulillah,tepat jam 3.00 petang destinasi Wadi Al-rayyan berjaya ditakluki.Para peserta begitu takjub melihat akan kewujudan air terjun di tengah-tengah padang pasir yang tandus.Terdapat tiga air terjun sekitar Wadi Al-rayyan.Airnya pula mengalir ke sebuah tasik yang luas.Kawasan ini menjadi tumpuan para pelancong untuk melakukan aktiviti perahu dan bermandi-manda terutamanya pada cuti musim panas.

Salah satu air terjun di Wadi Al-rayyan

Setelah menikmati hidangan makanan tengah hari,kami mula bergerak ke destinasi seterusnya Tasik Qarun.
Tasik Qarun merupakan tasik yang ketiga terbesar di Mesir dan mempunyai keluasan sekitar 18900 hektar.Di tengah-tengah tasik terdapat sebuah pulau yang bernama Qarn Al-Zahabiy.Menurut masyarakat setempat,tasik ini merupakan kawasan istana dan harta-harta milik Qarun yang telah ditenggelamkan akibat keangkuhannya.Disebabkan masalah teknikal,kami hanya melalui kawasan tasik Qarun sambil menghayati keindahan matahari terbenam.Berasa begitu takjub sekali apabila melihat tasik itu seolah-olah laut yang terbentang luas seluas mata memandang.



Menjelang malam,kami singgah pula ke destinasi seterusnya Ain Sillin.Lokasi mata air ini terletak di tengah-tengah perkebunan mangga.Airnya dikatakan mempunyai khasiat dan mineral yang tinggi dan baik untuk kesihatan.Para peserta tidak melepaskan peluang untuk meminum dan mengisinya ke dalam botol untuk dijadikan bekalan pulang ke Iskandariah.Rasa air ini sedap tidak terkata.Sekitar kawasan air terjun juga terdapat tempat untuk membeli buah mangga dengan harga yang amat murah,sekilo LE2.00.


Ain Sillin
Selepas solat isyak di situ,kami bergerak pula ke kincir air yang menjadi mercu tanda Fayoum sejak zaman firaun lagi.Kincir air yang besar dan diperbuat daripada kayu tempatan ini merupakan simbol kepada kerajaan Fayoum bagi mengairi kawasan pertanian.Terdapat kira-kira 200 kincir air sekitar fayoum yang masih berfungsi.Salah satu kincir air yang boleh dilihat dengan begitu jelas sekali terletak di tengah-tengah bandar Fayoum.Mengikut cerita penduduk setempat kincir air tersebut telah wujud kira-kira 4000 tahun dahulu lagi.


 Akhir sekali,kami berjalan-jalan sekitar bandar Fayoum sambil mencari cenderamata untuk di bawa pulang bersama.Harga-harga barang terlalu murah jika hendak dibandingkan dengan harga di Iskandariah terutamanya buah-buahan.Hasil seni anyaman penduduk Fayoum tidak kurang hebatnya .Pelbagai jenis anyaman yang boleh didapati di sini.Namun satu perkara yang amat menghairankan kami apabila rata-rata masyarakat di sini memandang kami umpama "makhluk asing" yang baru turun ke bumi.Sampaikan ada yang meminta tandatangan kami untuk dijadikan kenangan.Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki mereka tenung dengan begitu teliti sekali.Mungkin ini adalah impak kepada kongkongan yang dilakukan oleh rejim Husni Mubarak sebelum ini terhadap rakyat Mesir terutama masyarakat kampung yang begitu tertutup dengan informasi-informasi luar.Moga-moga jaulah kali ini menjadi satu ibrah kepada kami untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur dan lebih taat kepada Allah.

 “Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah Allah, justeru berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat yang menimpa ke atas orang-orang yang mendustakan rasul"Ali-Imran ayat 137-139


Berjalan sambil memerhati ,menghayati dan mengenali ciptaan ilahi...
                                                  










Sunday, June 26, 2011

ISRAK MIKRAJ (PART 1)


PERISTIWA ISRAK MIKRAJ
PENGENALAN 

          Ketika tulisan ini ditulis menunjukkan bahawa bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Tarikh hari ini adalah 24 Rejab 1432H bersamaan 26 Jun 2011 . Maka semakin terasa dekatnya diri ini untuk bertemu dengan bulan mulia lagi penuh rahmat iaitu Ramadhan al-Mubarak. Namun seringkali dilupai bahawa di penghujung bulan Rejab ini berlaku suatu peristiwa yang besar dan penuh bermakna bagi seluruh umat Islam khususnya. Peristiwa yang dimaksudkan ini ialah peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama.
         Terdapatnya sedikit khilaf dalam menentukan tarikh dan waktu sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini sebenarnya. Namun itu bukanlah suatu perkara yang perlu dipanjangkan pedebatannya. Apa yang terlebih penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah S.A.W. kerana ia ada dinyatakan di dalam al-Quran al-Karim dan diceritakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang telah diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi. 

          Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

          Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama'  tafsir  secara umum menegaskan bahawa perisitiwa isra' dan mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh nabi s.a.w bukannya roh sahaja. Imam Nawawi turut menyatakan bahawa perkara sebenar yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala dengan roh dan jasadnya sekali.

          Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan " asra bi 'abdihi lailan " yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.

           Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.


PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ 

          Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
(Surah al-Israa: ayat 1).

          Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan di dalam Al-Quran.
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain, (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.
(Surah an-Najm: ayat 13-18).

         Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama. 

SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ 

            Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut, iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda). 

            Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan sahaja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci, dihina dan macam-macam lagi. 

           Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala. 

PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ

ISRAK
           Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang. 

          Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis. Sepanjang perjalanan Israk baginda, Allah Taala telah memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk adalah: 

1)    Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala. 

2)    Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah dan ahli keluarganya yang telah gugur syahid kerana mempertahankan keimanan kepada Allah dan sanggup berhadapan dengan Firaun yang zalim. Mereka lebih sanggup dihumbankan ke dalam kawah yang bergelegak panas demi Allah daripada menerima azab Allah yang lebih pedih jika tunduk kepada Firaun yang sesat itu

3)    Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki. 

4)    Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba. 

5)    Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah. 

6)    Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat. 

7)    Baginda melihat sekumpulan manusia yang menggunting lidahnya dengan penggunting besi secara berterusan. Setiap kali di gunting, lidah dan mereka kembali seperti biasa. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata serta mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 

8)    Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya. 

9)    Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya. 

10) Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti keldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta. 

11) Baginda melihat lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, namun ditambah lagu kayu yang lain. Itulah gambaran orangyang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 

12) Baginda melihat seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Itulah gambaran dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 

13) Baginda melihat seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh baginda berhenti. Namun, baginda tidak menghiraukannya. Itulah gambaran orang yang mensiakan umurnya sampai tua. 

14) Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
         
          Setibanya di baitul Maqdis, baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat






Masjid Al-Aqsa