Wednesday, June 29, 2011

Pengembaraan Di Bumi Fayoum


Iskandariah,24 Jun-Seramai 65 orang pelajar ikhwah tahun 1 telah menyertai jaulah ke Fayoum yang terletak kira-kira 400km daripada Iskandariah.Setelah berhempas pulas menghadapi module 5 yang dianggap amat kritikal,peluang "keemasan" ini tidak dilepaskan oleh mahasiswa tahun 1 untuk melepaskan tekanan yang telah lama disimpan di dalam hati.Bumi Fayoum yang tidak asing lagi bagi para pencinta buah menjadi destinasi percutian sensasi kami pada kali ini.




Pengembaraan kali ini bermula seawal jam 8.00 pagi.Walaupun perjalanan menuju ke Fayoum terasa jauh sekali,namun panorama yang terhidang di hadapan mata menjadi pengubat letih kali ini.Sungguh takjub apabila melihat bandar 6th Oktober yang sama gah dengan Bandar Putrajaya di Malaysia.Mungkin ramai yang tidak tahu akan kewujudan bandar yang amat canggih ini terutamanya mahasiswa tahun 1.

Kawasan pertanian di Fayoum

Setelah 6 jam berada di atas bas,kini destinasi yang pertama Wadi Al-Rayyan menanti untuk dijejaki.Sebelum memasuki kawasan Wadi Al-Rayyan kami dikenakan bayaran sebanyak 3 dolar setiap seorang.Pelbagai halangan yang kami hadapi sebelum berjaya menerokai wilayah Wadi Al-rayyan yang memiliki satu-satunya air terjun di Mesir.Sepanjang perjalanan menuju ke air terjun itu,kami mengambil kesempatan untuk bergambar di atas padang pasir yang terbentang luas umpama tiada penghujungnya.Kelihatan semua peserta seolah-olah teruja dengan pengalaman pertama menyaksikan sendiri keindahan padang pasir di bumi Mesir.Terasa begitu sayu apabila mengenangkan perjuangan Rasulullah melakukan hijrah ke kota Madinah merentasi padang pasir yang begitu luas sekali.Pasir-pasir yang halus memang sukar untuk dijejaki disertai pula angin-angin yang rakus membawa desiran pasir bersamanya.Pengalaman ini menjadi satu ibrah kepada para peserta untuk lebih menghargai pengorbanan Rasulullah S.A.W dalam menyebarkan Islam kepada umatnya.

Bergambar di padang pasir sekitar Wadi Al-Rayyan
Padang pasir yang terbentang luas umpama tiada penghujungnya

Gelagat peserta jaulah kali ini yang begitu teruja dengan padang pasir


Alhamdulillah,tepat jam 3.00 petang destinasi Wadi Al-rayyan berjaya ditakluki.Para peserta begitu takjub melihat akan kewujudan air terjun di tengah-tengah padang pasir yang tandus.Terdapat tiga air terjun sekitar Wadi Al-rayyan.Airnya pula mengalir ke sebuah tasik yang luas.Kawasan ini menjadi tumpuan para pelancong untuk melakukan aktiviti perahu dan bermandi-manda terutamanya pada cuti musim panas.

Salah satu air terjun di Wadi Al-rayyan

Setelah menikmati hidangan makanan tengah hari,kami mula bergerak ke destinasi seterusnya Tasik Qarun.
Tasik Qarun merupakan tasik yang ketiga terbesar di Mesir dan mempunyai keluasan sekitar 18900 hektar.Di tengah-tengah tasik terdapat sebuah pulau yang bernama Qarn Al-Zahabiy.Menurut masyarakat setempat,tasik ini merupakan kawasan istana dan harta-harta milik Qarun yang telah ditenggelamkan akibat keangkuhannya.Disebabkan masalah teknikal,kami hanya melalui kawasan tasik Qarun sambil menghayati keindahan matahari terbenam.Berasa begitu takjub sekali apabila melihat tasik itu seolah-olah laut yang terbentang luas seluas mata memandang.



Menjelang malam,kami singgah pula ke destinasi seterusnya Ain Sillin.Lokasi mata air ini terletak di tengah-tengah perkebunan mangga.Airnya dikatakan mempunyai khasiat dan mineral yang tinggi dan baik untuk kesihatan.Para peserta tidak melepaskan peluang untuk meminum dan mengisinya ke dalam botol untuk dijadikan bekalan pulang ke Iskandariah.Rasa air ini sedap tidak terkata.Sekitar kawasan air terjun juga terdapat tempat untuk membeli buah mangga dengan harga yang amat murah,sekilo LE2.00.


Ain Sillin
Selepas solat isyak di situ,kami bergerak pula ke kincir air yang menjadi mercu tanda Fayoum sejak zaman firaun lagi.Kincir air yang besar dan diperbuat daripada kayu tempatan ini merupakan simbol kepada kerajaan Fayoum bagi mengairi kawasan pertanian.Terdapat kira-kira 200 kincir air sekitar fayoum yang masih berfungsi.Salah satu kincir air yang boleh dilihat dengan begitu jelas sekali terletak di tengah-tengah bandar Fayoum.Mengikut cerita penduduk setempat kincir air tersebut telah wujud kira-kira 4000 tahun dahulu lagi.


 Akhir sekali,kami berjalan-jalan sekitar bandar Fayoum sambil mencari cenderamata untuk di bawa pulang bersama.Harga-harga barang terlalu murah jika hendak dibandingkan dengan harga di Iskandariah terutamanya buah-buahan.Hasil seni anyaman penduduk Fayoum tidak kurang hebatnya .Pelbagai jenis anyaman yang boleh didapati di sini.Namun satu perkara yang amat menghairankan kami apabila rata-rata masyarakat di sini memandang kami umpama "makhluk asing" yang baru turun ke bumi.Sampaikan ada yang meminta tandatangan kami untuk dijadikan kenangan.Dari hujung kepala sampai ke hujung kaki mereka tenung dengan begitu teliti sekali.Mungkin ini adalah impak kepada kongkongan yang dilakukan oleh rejim Husni Mubarak sebelum ini terhadap rakyat Mesir terutama masyarakat kampung yang begitu tertutup dengan informasi-informasi luar.Moga-moga jaulah kali ini menjadi satu ibrah kepada kami untuk menjadi hamba yang lebih bersyukur dan lebih taat kepada Allah.

 “Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah Allah, justeru berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat yang menimpa ke atas orang-orang yang mendustakan rasul"Ali-Imran ayat 137-139


Berjalan sambil memerhati ,menghayati dan mengenali ciptaan ilahi...
                                                  










0 comments:

Post a Comment