Monday, April 22, 2013

Dr.khalifa 2019


Dr. Khalifah 2019 
BY: ACER 
TARIKH:  22 APRIL 2013





           Dr.khalifa 2019

            Usai solat dhuha, Alhamdulillah, akhirnya sempat merehatkan badan di sudut surau. Sekarang sudah banyak pembangunan ke arah memudahkan pesakit dan kakitangan. Surau, bilik wudhu, dan alat tayammum ringkas telah disediakan. Hospital mesra ibadah menjadi motto bagi setiap hospital yang berada di Malaysia, tambahan pula, bayaran untuk hospital kerajaan langsung tidak dikenakan ke atas pesakit.

"Dulu, kalau nak solat susah doktor, kadang-kadang tu sampai kena solat tepi katil pesakit yang sempit-sempit, kalau pasal pesakit tak payah cerita lah, 90 % memang tak solat langsung" kata kak Faridah, salah seorang jururawat senior di Hospital Islam Khulafa'.

            Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Jam tangan yang dihadiahkan oleh mak pada hari pernikahan aku 3 tahun lepas, masih tetap berdetik hingga ke saat ini. Surau di wad kanak-kanak ini sangat sunyi, hanya kedengaran suara tangisan sayup-sayup dari wad. Sudah lebih 24 jam aku berada di hospital. Baju kemeja yang digosok oleh isteri ku telah bertukar menjadi baju yang selayaknya berada dalam mesin basuhan. Tali leher yang aku pakai semalam entah kemana perginya.

"Teet..teet.."

Bunyi yang disusuli dengan getaran cukup untuk mengalih pandangan aku dari kemeja yang berkedut kepada telefon bimbitku.

"Abang..harini wani ada meeting, wani balik pukul 2..wani dah masak untuk abang, abang panaskan ek.. Haaa malam ni jangan lupa, nak pergi kuliah sama-sama. Jangan buat on-call bagai pule tau :p"

            Terukir senyuman di bibir aku, sambil terngiang-ngiang suara Yuna menyanyikan "lagu terukir di bintang" ketika melihat pesanan ringkas dari isteriku. Masuk tahun ini sudah 5 tahun usia perkahwinan kami. Ketika di tahun 3 aku menyatakan hasrat kepada ibubapa ku untuk berkahwin. Keputusan yang ternyata memeranjatkan mereka, namun, Alhamdulillah, diterima dengan baik. Kisah cinta yang ringkas namun bagiku sudah cukup romantik untuk dikenang sendiri. Dari bergelar seorang pelajar sehinggalah menjadi doktor, setia sahaja melayan karenah ku. Syazwani Muhamad, akhawat yang aku kenali ketika menuntut di pusat asasi UIA Petaling Jaya sebelum terbang ke bumi Iskandariah. Sekarang sudah bergelar suri hidupku sepenuh masa, terkadang aku menggelarkannya Fatimah Syarha, dek kerana ayat-ayat persis novel yang sering diungkapkan kepadaku. Isteri, teman, kawan, musuh, segala peranan diraih olehnya. 

"Boleh saya pinjam paper ni tak?" Aku meminta izin kepada salah seorang jururawat di kaunter.

            Aku membelek-belek surat khabar yang masih terlipat rapi di sudut kaunter. Mataku meliar memerhatikan tajuk-tajuk utama akhbar dengan pantas. Jika dahulu, jarang sekali aku meringankan tangan aku untuk membelek akhbar, kerana berita yang dipaparkan sangat tidak bermoral jauh sekali berakhlak. Ketika di universiti, berita yang dipaparkan hanyalah berkisar tentang politik kotor, gambar-gambar rakaman video lucah, dan tomahan-tomahan yang tidak berasas. Namun kali ini, segalanya telah berubah, masakan tidak, setiap penulisan dan berita yang dipaparkan benar-benar memberi info yang sahih serta bermanfaat. Rakyat bebas bersuara, suara-suara rakyat mula menjadi satu suara yang di dengari, rakyat bukan lagi berperanan sebagai hamba,namun sebagai tuan kepada negara. Jelas berbeza dengan situasi beberapa tahun sebelum ini.

"Pembebasan bumi Aqsa dalam masa terdekat" lantang kata-kata perdana menteri Malaysia di persidangan OIC.

            Tajuk itu berjaya merangsang otakku untuk meneruskan pembacaan selanjutnya. Alhamdulillah, akhirnya negara-negara islam bersetuju untuk bersatu dalam menangani isu Palestin yang sangat kronik. Mempertahankan kedaulatan Palestin menjadi agenda utama persidangan kali ini. Agenda yang dibawakan oleh perdana menteri Malaysia diterima dengan baik oleh ahli OIC. Kali ini dengan lebih serius, dan pendekatan yang amat berbeza dengan sebelumnya. Mesir, Turki, Arab saudi dan seluruh negara Islam telah bersetuju memutuskan segala hubungan diplomatik dengan Israel dan negara-negara yang bersama-sama dengannya. Presiden Mesir, Dr. Mursi memberi kata dua kepada israel samada untuk berundur diri ataupun dihancurkan sehingga menjadi debu jika masih berdegil. Tambahnya, negara-negara Islam akan mengembalikan kedaulatan Islam dan meletakkannya ke tempat paling tinggi.

"Kami yakin, kali ini khilafah islamiyyah akan kembali terbina. Keadilan akan tertegak di setiap pelusuk bumi. Tiada satu tanah akan diambil secara zalim. Orang- orang yang dizalimi akan di bela, orang yang zalim akan mendapat pembalasan tanpa mengira pangkat, kedudukan dan kuasa" tegas perdana menteri Malaysia pada sidang media sejurus tiba di KLIA.

            Meremang bulu roma apabila membaca berita yang sudah sekian lama ditunggu. Jika dahulu, peristiwa seperti ini hanya mampu ditulis di dalam cerpen. Namun hari ini, aku merasakan hari pembebasan al-Aqsa semakin hampir. Sujud syukur tanda kegembiraan.

            Dalam perasaan gembira, aku teringat satu peristiwa ketika aku masih menuntut di Iskandariah, Mesir. Ketika itu selepas subuh. Musim panas di Mesir subuhnya awal, pukul 4 pagi. Ketika sedang bersiap untuk ke kuliah, aku mendengar sahabat serumahku Johan atau lebih dikenali sebagai Jay, memasang satu video rakaman ceramah di youtube.

"Tiada jihad di Palestin"

            Ungkapan itu benar- benar mengganggu benak fikiran dan emosiku. Aku masuk ke dalam bilik Jay dan sama-sama mendengar ceramah dari seorang ulama' muda salah satu parti di Malaysia.
Mulut ku berbicara.
" guano ustaz ni Jay, tibo-tibo jah oyak fatwa lagu ni" 

" tak tahu lah khalifa, mu dengar lah dulu yo nok oyak gapo pahni" jay menjawab sambil asyik bermain angry bird pada peranti Ipadnya.

            Aku meneliti setiap kata dan bicara yang disampaikan. Antara hujahnya adalah, rakyat Palestin perlu keluar dari bumi Aqsa kerana mereka tidak mampu untuk menentang Israel disebabkan kekurangan kelengkapan persenjataan. Tiada persiapan untuk menghadapi musuh.

"Seems legit" bisik hatiku.

" rakyat Palestin perlu keluar dari Palestin dan mempersiapkan diri untuk menghadapi israel pada masa akan datang" ulama muda itu meneruskan bicara.

Namun ada beberapa persoalan yang bermain difikiranku, kelengkapan senjata? kemana harus mereka tuju sekiranya mereka keluar dari Palestin?


            Malam itu mentor smart circle aku menceritakan kepada usrah perihal perang Badar. Ketika itu umat Islam tidak memiliki kelengkapan yang cukup, peralatan perang dan jumlah tentera yang jauh lebih sedikit berbanding pihak lawan. Kalau dilihat dari percaturan logik dan matematik, sudah jelas bahawa tentera Islam sudah semestinya akan tewas, namun dengan pertolongan Allah, perkara sebaliknya yang berlaku.

" (ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu, " sungguh aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut."

"Dan tidaklah Allah menjadikannya melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu menjadi tenteram kerananya. Dan kemenangan itu hanyalah dari sisi Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana."

            Ayat dari surah al-anfal yang dibentangkan oleh Abang Yadiy benar-benar memberi penjelasan kepadaku bahawa kemenangan itu datang dari Allah secara mutlak. Siapa yang Allah kehendaki untuk menang, Allah akan kurniakan. Bagi umat Islam, kemenangan itu sudah pasti, namun hanya di tangguhkan waktunya. Walau ditentang ribuan tentera, ratusan kereta kebal,  kuasa Allah tetap mengatasi segala-galanya. Tetaplah pada jalan Islam, kemenangan akan menjadi milik kita,masa menjadi penentu dan teruskan berdoa serta mengharap agar diri menjadi penyumbang kemenangan Islam, bukannya menjadi pembantut kepada perjuangan.

"Kalau rakyat Palestin keluar dari bumi Aqsa, diorang nak duduk dekat mana? Dan jika mereka keluar dari Palestin, israel akan menuntut hak sebagai negara yang berdaulat, itu yang mereka nak selama ini" Dr. Asri Zainal Abidin

            Dr. Maza menjelaskan, mungkin ketika zaman ketika mana sistem naungan Khilafah masih tertegak, fatwa ini masih 'valid'. Namun dalam keadaan sekarang tiada tempat untuk rakyat Palestin mencari perlindungan. Arab Saudi sendiri seakan-akan bersekongkol dengan israel dalam hal ini. Jelas, jika rakyat Palestin keluar dari Aqsa, israel akan lebih berkuasa.

            Jihad di Palestin perlu diteruskan, namun ianya tidak seharusnya dibiarkan yatim tanpa pembelaan. Ketika rakyat Palestin masih setia bertahan, negara-negara Islam perlu bersatu dan mengumpul tenaga dalam segala sudut, ekonomi, akhlak, dan ketenteraan. Ini yang sebenarnya harus berlaku, pihak yang membuat persiapan adalah negara Islam lain, bukan lah hanya terbeban kepada pemuda Palestin semata-mata. Umat Islam perlu berterima kasih kepada kepada rakyat Palestin yang setia bertahan di Aqsa. Hanya masa akan menentukan bilakah saat kemenangan akan dikecap.

"Dr. Khalifa"
Kak Faridah menyapa lamunanku, masih memegang erat surat khabar. Ah, jauh sungguh lamunanku melangkau rentas masa selama bertahun-tahun.

"Ya, kak Faridah?"

" takde lah, akak tengok doktor mengelamun dari tadi, doktor dah habis shift kan? Taknak balik ke?" Tanya kak Faridah dengan sinis.

"Alah akak ni, saya nak berangan sikit pun tak boleh. Yee..nak balik lah ni. Haaa, malam ni jangan lupa, ada kuliah ustaz Azhar Idrus dekat masjid besar, ajak satu family datang." Balas ku dengan nada gurauan.

Budaya cintakan ilmu 
semakin mendapat tempat di hati masyarakat 
terutama sekali pemuda.

 Ceramah-ceramah agama dipenuhi ribuan pemuda. Mungkin ini lah salah satu penyebab penyatuan umat Islam di seluruh dunia. Tiada lagi hiburan-hiburan melampau dan melalaikan. prosedur perkahwinan dipermudahkan, remaja-remaja yang ingin berkahwin diberikan wang belanja dari baitulmal. jelas perkara ini mengurangkan gejala sosial yang menemui jalan buntu beberapa tahun sebelumnya. Alhamdulillah, moga Allah melimpahkan rahmatnya keatas usaha setiap hamba untuk memelihara negara dengan acuan yang ditetapkan oleh Nya.
Jam 10 pagi, dengan badan yang amat letih aku memandu pulang. Ketika di tempat parkir tadi,aku sempat melihat beberapa kakitangan hospital bersama kereta yang baru dibeli. Agak mewah. Semenjak harga kereta dan minyak petrol diturunkan, semakin banyak kereta mewah menjalar di jalan raya. Golongan berpendapatan sederhana mahupun rendah semuanya berpeluang membeli kenderaan dengan skim pinjaman tanpa riba yang tidak menindas. 
Aku?
Kereta kenari yang dihadiahkan oleh abang ngah sejurus selepas majlis graduasi ku ini sudah cukup untuk memenuhi keperluan hidupku. Kalau dahulu, selalu berfikir untuk memiliki kereta mewah. BMW, Mercedes, atau Mini cooper . Namun apabila sudah memiliki tanggungjawab sendiri, aku perlu lebih matang menyusun aulawiyyat hidupku. 

Senyum sendiri mengenangkan peristiwa pahit manis ketika belajar dahulu. Kepada sahabat-sahabat yang sering sering hadir dalam lamunan ku, sungguh, aku rindu padamu. Kehidupan sebagai pelajar jelas berbeza dengan kehidupan bekerja. Sama seperti kehidupan bujang dan kehidupan berkeluarga. Jika dahulu apa yang harus difikirkan hanya seorang, selepas berkahwin segalanya digandakan dengan dua. Perut yang perlu di isi, belanja harian, dan sebagainya. Jika dahulu aku mempunyai seorang ibu dan ayah, namun sekarang aku memiliki dua orang ibu dan dua orang ayah. Segala peristiwa yang berlaku dalam hidup, ada hikmah yang tersendiri, moga-moga Allah merahmati segala pekerjaan dan amalan yang di lakukan sebelum ini.


_Dr. Khalifah_

1 comments: