Friday, November 29, 2013

PROLOG: Kau Pergi

Kau Pergi
BY: UPI ACE 2013
TARIKH:  29 NOV. 2013



“Bangunlah!”, puas sudah sahabatnya mengejutkan dia supaya bangkit bersiap ke sekolah, sehingga akhirnya dia bangun juga dalam mamai memasuki tandas. Lama pula di dalam tandas, walhal setengah jam lagi round internal medicine akan bermula. Setelah pintunya diketuk-ketuk berulang kali, dia keluar dengan muka kepenatan.

“Haish masuk tandas buat apa sampai penat macam ni?”, sekadar bertanya di hati, bimbang sahabatnya terguris.

“Hari ni macam tak larat nak ke kelas?”, itu patah tuturnya yang pertama hari ini.

“kenapa?”

“sakit perutlah. Tapi sayang, nanti banyak tertinggal. Doktor kata hari ni belajar banyak.”

“nak pergi ke tak nak?”

“tak tahu” dia geleng. Menekan-nekan perutnya. Dan sahabatnya beredar ke dapur mengambil sarapan.

“meh sini aku suap nasi goreng. Lapik perut sikit, pastu….”, dia berlalu ke rak meja dan mengambil panadol actifast.

“….makan ni. Pastu buat keputusan”.

“Bolehlah. Pergi kelaslah”, dia ke kelas akhirnya dengan doa yang dititipkan dalam hati moga sakitnya makin baik. Earphone ditarik keluar beg dan disumbat ke telinga. The Beloved nyanyian Yusuf Islam mula berlagu. Ditatapnya sahabat di sebelah.

“Thanks bro…, dia berlari sambil menjerit berlalu turun. “……you can never be replaced”, perlahan dia menyambung. Dalam hati, doa dipanjatkan moga Allah jaga persahabatannya. Moga sahabatnya ini akan memimpin dia nanti masuk ke syurga. Sebagaimana sahabatnya itu memimpin dia berusaha bangun subuh setiap pagi. Pagi tadi, dia akui dia kalah juga dengan matanya yang berat hingga tertidur di tepi katil sambil berusaha menghabiskan bacaan mathuratnya. Itupun dengan pimpinan Syahid juga. Jika tidak, selepas solat sudah pasti dia terus tidur.

                                                XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

“Khairul, marilah baca mathurat sama-sama. Mathurat ni pelindung tau, kita tak tahu jika ada kemalangan yang akan menimpa kita. Dan amalan kitalah yang membantu kita saat itu”, itu kata Shahid waktu tahun 2 dulu.

“Sesat! Apalah kau, belajar sekolah agama, tapi kata amalan, yang melindung kita dari bahaya. Kau tahu kan semuanya dengan izin Allah…even masuk syurga pun bukan dengan amalan tapi dengan redha Allah tau..”, laju Khairul menjawab, dijelingnya sekilas dan berlalu menyambung tidur. Shahid pula tertunduk mendengar.

“Ya Allah, aku khilaf dalam berkata-kata. Janganlah kau jadikan kata-kata ini hujah yang berbalik kembali kepada aku kelak. Maka ampunilah aku dan bukalah pintu hati sahabatku Khairul”, dia berdoa dalam diam.  Dia menyudahkan bacaan mathurat dan zikir paginya di tikar sejadah. Setelah selesai, dia ke dapur meneguk secawan air dan masuk ke bilik tidur. Dilihatnya, Khairul sedang chatting di facebook sambil cuba untuk tidur kembali.

Pagi itu, Syahid bercadang untuk memulakan harinya dengan al-quran, dan dia memilih surah al-Munafiqqun. Sederhana dan lancar bacaannya. Syahid tidak sekadar membaca namun, dia turut mentadabbur makna-makna al-quran. Suasana saat itu seolah sunyi seketika. Yang kedengarannya cuma, bunyi tab Khairul yang rancak membalas respon. Tiba-tiba, bunyi tab Khairul turut berhenti.

“Amboiiiii…tak payah lah sindir-sindir. Kau ingat aku tak tahu yang kau baca surah al-Munafiqqun. Nak kata aku munafiq ker? Yang kau ni sindir-sindir pakai ayat al-quran tak munafiq? Kau tak pernah dengar ke cara nak cegah kemungkaran. Kalau rasa iman dah kuat sangat tegurlah cara elok. Ni tak, main sindir. Lemah iman eh?”, lantang suara Khairul memarahinya subuh hari itu. Begitulah setiap hari, ditegur atau tidak ditegur Syahid, Khairul pasti kembali berceramah pada Syahid. Seolah-olahnya, Syahid lah yang lebih teruk darinya.

“kenapa? kau terasa kau munafiq?” lantang hatinya membalas. Namun, suara itu kekal dalam benaknya, tidak terluah di mulut. Tak mungkin dia berkata demikian, kerana dia tahu kalamnya itu, kalam orang yang berlaku sombong di muka bumi Allah. Dan, mana mungkin dia sanggup menyakiti hati sahabatnya. Dia marah, namun marahnya itu tidak boleh dimenangkan, kerana yang menang itu syaitan bukan dia. Bahkan dia bakal kalah dengan kehilangan sahabat. Dia hanya mampu berdoa, bersabar dan mencuba lagi menasihati Khairul.

“ya Allah, aku khilaf dalam amalan ku. Jika benar pernah lahir dalam hati ini sifat munafiq maka kau bersihkan ia dari kekotoran itu. Jika ia tak mampu dibersihkan lagi maka kau gantikan hatiku dengan hati yang baru. Maka ampunilah aku dan bukalah pintu hati sahabatku, Khairul” dalam diam Syahid berdoa lagi. Namun, dalam keadaan itu, dia sendiri sangat mengangumi Khairul, kerana dia sangat arif dengan surah dalam al-quran dan hadis. Walhal, dia tak pernah melihat Khairul membuka al-quran mahupun apa-apa kitab.

Pastinya dalam hati Khairul ada satu sisi yang mencintai al-quran dan hadis. Masakan dia marah jika dikatakan munafiq. Pasti dia mahu dilihat sebagai seorang mukmin juga. Hati dia, Allah yang pegang, kalamnya Allah yang ilham. Aku tak akan pernah mampu tahu bila turning pointnya. Bahkan dia lebih hebat dari ku.

“ Bergembiralah bila Allah sudah pilih kita untuk berubah. Usah biar kesedihan masa lampau memburu kita hingga akibatnya rosak amalan kita. Contohilah Saidina Umar. Sebelum Islam beliau hebat, selepas Islam bahkan dia lebih hebat…tidak bermakna mereka yang sudah Islam sedari awal sahaja yang mampu hebat, buktinya lihat pada Saidina Umar…”, senyuman abang SCnya seakan bermain di mata.

“….yang perlu dirisau ialah bila Allah sudah hadirkan hidayah tapi kita berpaling”. Dia menanam keazaman membantu Khairul sebagaimana dia dibantu Abang Naufal.


_Unit Pembangunan Insan ACE 2013_


0 comments:

Post a Comment